Thursday, March 24, 2005
rehat seketika....dan menghayati cerita ni....
Ada seorang lelaki yang soleh, bernama Tsabit bin Ibrahim. Dia sedang berjalan di pinggiran kota Kufah. Tiba-tiba dia melihat sebiji epal terjatuh dan keluar daripada pagar sebuah kebun buah-buahan.Tsabit melihat buah epal yang merah ranum itu, tergolek di tanah. Buah epal itu sangat menggiurkan. Apatah lagi, hari itu amat panas. Dia pula amat haus. Tsabit tanpa berfikir panjang terus mengambil dan memakan buah epal yang lazat itu.Sedang dia makan, baru dia teringat yang buah ini bukan miliknya. Dia belum mendapat keizinan daripada pemilik kebun buah epal. Apabila menyedari kesilapannya, Tsabit segera pergi ke kebun buah-buahan itu. Dia ingin mencari pemilik kebun itu. Dia mahu pemilik kebun itu menghalalkan buah epal yang telah dimakannya. Di kebun itu, Tsabit menemui seorang lelaki. Tsabit mendekati lelaki."Aku sudah makan separuh daripada buah epal ini. Aku berharap agar kamu menghalalkannya," kata Tsabit dengan kesal."Aku bukan pemilik kebun ini. Aku hanya khadam yang ditugaskan menjaga dan mengurus kebunnya," kata lelaki itu."Di mana rumah pemilik kebun ini? Aku hendak menemuinya dan minta dihalalkan epal yang telah aku makan ini," kata Tsabit dengan nada kesal."Untuk menemui pemilik kebun ini, kamu terpaksa menempuh perjalanan selama sehari semalam sebelum sampai ke rumahnya," jelas khadam itu lagi.Tsabit bertekad hendak menemui pemilik kebun itu. Dia menyedari yang rumah pemilik kebun buah-buahan ini amat jauh. Tetapi dia tetap ingin bersua supaya buah epal yang telah dimakannya itu dapat dihalalkan."Tidak mengapalah. Aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya terlalu jauh. Aku telah memakan epal yang tidak halal. Hidup aku tidak tenang. Rasulullah sudah memperingatkan kita melalui sabdanya: "Tiap-tiap daging yang terhasil daripada benda yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya," kata Tsabit lagi.Tsabit memulakan perjalanan menuju ke rumah pemilik kebun epal itu. Dalam tempoh perjalanan sehari semalam, dia menghadapi dugaan di tengah-tengah padang pasir. Ribut pasir terpaksa diharungi. Niatnya hanya satu, hendak menemui pemilik kebun epal. Akhirnya Tsabit sampai juga ke rumah pemilik kebun itu. Tsabit terus mengetuk pintu. Setelah tuan rumah membukakan pintu, Tsabit dengan sopan memberi salam dan menjelaskan tujuan sebenar kedatangannya."Wahai tuan yang pemurah, saya sudah membuat kesalahan iaitu memakan separuh buah epal yang terjatuh di luar pagar dari kebun tuan. Saya makan tanpa keizinan daripada tuan. Saya meminta agar tuan menghalalkan apa-apa yang sudah saya makan itu," kata Tsabit dengan penuh keinsafan.Tuan pemilik kebun itu dengan tenang mendengar cerita Tsabit. "Aku tidak boleh menghalalkannya, kecuali dengan satu syarat," kata pemilik kebun epal itu. Tsabit bimbang dengan syarat itu kerana takut dia tidak dapat memenuhinya. Tsabit segera bertanya, "Apakah syarat itu tuan?""Engkau mesti mengahwini puteri aku," kata pemilik kebun itu.Tsabit tidak memahami maksud dan tujuan pemilik kebun itu. Tsabit berkata, "Apakah kerana hanya saya memakan separuh buah epal tuan, saya mesti mengahwini puteri tuan?"Pemilik kebun itu tidak mempedulikan pertanyaan Tsabit. Sebaliknya dia menjelaskan keadaan puterinya kepada Tsabit iaitu seorang yang buta, bisu, tuli, dan lumpuh. Tsabit amat terkejut dengan keterangan pemilik kebun.Tsabit menjawab dengan rasa rendah diri, "Aku menerima puteri tuan sebagai isteri aku. Aku akan memenuhi kewajipan dan hakku kepadanya kerana aku amat berharap agar Allah selalu meredai aku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan aku di sisi Allah," kata Tsabit dengan jujur.Selepas berlangsungnya perkahwinan, Tsabit terkejut kerana isterinya tidak buta, bisu, tuli, dan lumpuh. Keadaan ini amat berbeza dengan apa yang telah dijelaskan oleh tuan kebun epal itu. Tsabit duduk di samping isterinya lalu bertanya tentang kekeliruan itu."Ayahmu mengatakan kepada aku bahawa engkau seorang yang buta, bisu, tuli, dan lumpuh," kata Tsabit.Isteri Tsabit itu kemudian berkata, "Ayah aku berkata benar, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah, tidak pernah mendengar berita buruk, lidah aku sentiasa berzikir kepada Allah, dan kaki aku tidak pernah pergi ke tempat yang tidak diredai oleh Allah."Tsabit amat berbahagia mendapat isteri yang soleh dan pandai memelihara maruah diri. Tsabit dan isterinya menjalani kehidupan dalam rumah tangga dengan penuh kasih sayang. Dalam beberapa tahun perkahwinan, mereka dikurniakan seorang putera iaitu Imam Abu Hanifah An Nu'man bin Tsabit. Abu Hanifah ialah Imam yang terkenal dengan ilmu keagamaan. Ilmunya menjadi rujukan seluruh umat Islam di dunia sejak dari zamannya sehingga kini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment